CSR Bantuan Banjir di Setiu

Posted by MarketingKU 05/12/2019 0 Comment(s)

SETIU – Penduduk daerah ini yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya melakukan persediaan awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara sekiranya diminta berbuat demikian.

 

Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, ada segelintir penduduk yang bersikap tunggu dan lihat keadaan air banjir terlebih dahulu dan berpindah selepas air sudah berada pada paras tinggi.

 

Menurutnya, keadaan itu memberi impak kepada pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja memindahkan mangsa berikutan air semakin laju, cuaca gelap dan masalah pengangkutan.

 

“Kita melalui MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) sudah maklum kepada penduduk yang berpotensi kena pindah supaya kemas barang-barang berharga, bila ada arahan pindah kena pindah.

 

“Isunya, ada yang tunggu dan buat ramalan sendiri sama ada air akan mencecah lantai rumah atau masih bertahan. Bila saat akhir, akan timbul masalah kepada pengurusan dan merumitkan proses pemindahan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada program agihan bantuan bekalan banjir oleh Kedai Kasut You kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara Perpustakaan Awam Permaisuri di sini hari ini.

 

Pada program itu, kedai Kasut You melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyumbangkan 130 beg berisi makanan dan barangan keperluan dapur kepada mangsa terjejas banjir yang ada di sana.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kasut You Sdn Bhd, Raymond Gan berkata, pihaknya ada menyediakan peruntukan khas pada setiap tahun untuk diberikan kepada mangsa bencana di negeri yang mempunyai rangkaian kedai Kasut You bagi meringankan beban mereka.

 

"Selain Terengganu, kita turut memberi bantuan sama di Kelantan, Johor dan Pahang. Ini salah satu cara kita hargai pelanggan Kasut You.

 

"Selepas ini kita bercadang buat CSR dalaman pula iaitu dengan membantu membersihkan rumah kakitangan yang dilanda banjir khususnya di Kelantan," katanya.

 

Kedai Kasut You Sdn Bhd mempunyai 50 rangkaian kedai dengan 290 kakitangan.
 

 

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Credit to: SINAR HARIAN